Orang ramai membeli barangan keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Pangsapuri Seri Kayan, Subang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

JER DUN Batu Tiga dapat sambutan, hampir 500 penduduk berbelanja

SHAH ALAM, 15 OKT: Hampir 500 penduduk mengambil peluang membeli barangan murah Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Pangsapuri Seri Kayan, Pinggiran Subang dekat sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga berkata kebanyakan penduduk mendapatkan bekalan beras, telur dan ayam berikutan harganya yang lebih rendah berbanding pasaran.

“Sambutan menggalakkan. Ramai yang mahu mendapatkan barangan yang dijual di JER kerana harga murah namun berkualiti. Setanding produk di luar.

“Kita hanya sediakan 300 kupon namun yang datang lebih. Bagaimanapun, penganjur maklumkan mereka bawa bekalan lebih untuk pastikan semua dapat membeli,” kata Danial Al-Rashid Haron.

ADN Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid meninjau program Jualan Ehsan Rahmah DUN Batu Tiga di Pangsapuri Seri Kayan, Subang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Wakil rakyat berkata pihaknya akan memastikan JER dilakukan lebih kerap memandangkan majoriti penduduk DUN berkenaan merupakan golongan berpendapatan rendah.

“Ini bukan program bermusim yang sekadar mahu meraih sokongan rakyat. JER sebagai inisitif Kerajaan Negeri dalam membantu rakyat berbelanja susulan isu kenaikan barang dan kos sara hidup,” katanya.

Kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), JER menawar ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS


Pengarang :