Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Balai Raya, Kampung Bukit Cherakah, Kuala Selangor pada 2 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jimat belanja dapur, rakyat mahu jualan murah lanjut lebih lama

KUALA SELANGOR, 2 OKT: Kerajaan Negeri disaran melanjutkan program jualan murah barangan asas bagi meringankan beban rakyat terutama berpendapatan rendah (B40) ketika pemulihan ekonomi.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor Mohd Maskor Tumiran berkata ramai rakyat masih memerlukan Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan pelbagai barangan pada harga patut.

“Saya difahamkan program ini akan berakhir akhir tahun tetapi saya berharap ia diteruskan sampai bila-bila. Saya lihat di mana sahaja ia diadakan, sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

“Ini membuktikan program ini berjaya,” katanya ditemui selepas meninjau program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Balai Raya Kampung Bukit Cherakah di sini hari ini.

Pengujung menunjukkan barangan asas yang dibeli ketika Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Jalan Balai Raya, Kampung Bukit Cherakah, Kuala Selangor 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Cherakah Nordin Ahmad berkata jualan murah kali ini menerima sambutan luar biasa walaupun diadakan pada hari bekerja.

Menurutnya, program kali keenam di kampung itu sentiasa dinantikan penduduk berikutan penjimatan harga yang ditawarkan kepada pelbagai barangan keperluan.

“Hari ini luar biasa ramai. Saya rasa lebih 400 orang datang kerana kampung ini turut dikelilingi empat kampung berhampiran. Kami sediakan 300 nombor tetapi ia habis pada jam 8.30 pagi,” katanya.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :