Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jualan murah barangan asas esok di empat cawangan Segi Fresh

SHAH ALAM, 26 OKT: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan pelbagai barangan asas pada harga murah akan berlangsung di empat lagi stor pasar raya Segi Fresh esok.

Menurut Facebook Segi Fresh, cawangan berkenaan meliputi Telok Panglima Garang, Sungai Udang, Sungai Besar dan Tanjong Karang dengan aneka keperluan berkualiti.

“Bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, kami bekerjasama dalam misi memberikan manfaat kepada yang memerlukan terutama golongan berpendapatan rendah ekoran kenaikan kos sara hidup.

“Dapatkan barangan keperluan asas yang murah dan berkualiti di Segi Fresh,” menurut pasar raya itu.

Produk ditawarkan antaranya ayam mentah RM7.49 sekilogram, daging kiub (RM10/pek), siakap (RM7 seekor), telur gred D (RM10 sepapan) dan tepung gandum (RM1.99/pek).

Kerajaan Selangor membelanjakan subsidi RM40 juta untuk melaksanakan jualan murah di 2,850 lokasi yang memanfaatkan lebih lima juta rakyat sehingga kini.


Pengarang :