Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penjawat awam pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kajian SSPA bakal tamatkan penantian penjawat awam nikmati skim gaji lebih baik

SHAH ALAM, 30 OKT: Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dijangka menamatkan penantian lebih sedekad penjawat awam untuk memperoleh skim gaji dan elaun yang lebih baik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) berkata kajian yang bakal dimuktamadkan hujung tahun depan sedang melalui sesi libat urus dan soal selidik.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 25 Mei 2023. Foto BERNAMA

“Sehingga 25 Oktober lalu, enam libat urus diperingkat kementerian dan agensi serta 10 libat urus diperingkat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah diadakan.

“Secara keseluruhannya, seramai 13,659 penjawat awam telah menghadiri sesi berkenaan. Baki tiga negeri lagi dijangka selesai dalam tahun ini juga,” kata Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (RUU) Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Armizan, kajian SSPA tidak pernah meminggirkan negeri tertentu dan ia perlu dilaksana secara menyeluruh bagi menghasilkan keputusan yang telus.

Jelasnya, fokus kajian adalah meliputi dasar pengurusan sumber manusia daripada fasa sebelum lantikan, semasa dalam perkhidmatan dan selepas tamat perkhidmatan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan menerusi kajian SSPA.

Anwar menyarankan majikan swasta turut sama mengkaji kesesuaian saraan serta ganjaran kepada pekerja, mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa.


Pengarang :