Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Kanak-kanak perempuan dua tahun lemas jatuh kolam

DUNGUN, 1 OKT: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang mengikuti ibu bapanya ke sebuah kolam memancing di Bukit Besi di sini, lemas selepas terjatuh kolam, petang semalam.

Dalam kejadian 5.15 petang, mangsa disahkan meninggal dunia ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun jam 8 malam.

Sebelum kejadian, bapa mangsa dikatakan sedang memancing sementara ibunya sedang menyusu adik bongsu mangsa tidak jauh dari situ.

Ketika sedang bermain-main dengan abangnya berusia 5 tahun, mangsa disedari hilang oleh bapanya, lapor Berita Harian.

Bapanya menghubungi penjaga kolam ikan terbabit untuk mencari anaknya itu sebelum menemui mangsa dalam kolam.

Bapa mangsa dari Kampung Landas Ajil, Hulu Terengganu memberi bantuan pernafasan sebelum mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Besi.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Bilik Kecemasan Hospital Dungun sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Polis berharap supaya ibu bapa dapat mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya.


Pengarang :