Peserta Karnival Anak Sihat Anak Selangor (ASAS) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (1) Jalan Batu Tiga, Klang pada 14 Oktober 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Karnival anak sihat sedia khidmat nasihat makanan seimbang, berkhasiat

KLANG, 15 OKT: Lebih 1,000 orang hadir memeriahkan Karnival Anak Sihat Anak Selangor (ASAS) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (1) Jalan Batu Tiga di sini semalam.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata program itu merupakan kesinambungan daripada pemberian bantuan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak di Selangor sebelum ini.

“Sebelum ini, (program ASAS) kita mengagihkan makanan bernutrisi tetapi kali ini kita menganjurkan secara karnival dengan pelbagai pengisian seperti sesi kaunseling pemakanan dan minda sihat dan sesi masakan makanan berkhasiat.

“Karnival ini juga bertujuan mendedahkan ibu bapa berhubung penyediaan makanan berkhasiat, mudah, cepat dan tidak menelan kos tinggi untuk anak-anak,” katanya.

Jamaliah menjelaskan peratusan kanak-kanak terbantut di negara ini juga dilihat semakin membimbangkan dan ibu bapa tidak boleh memandang remeh perkara itu.

“Justeru, kita berharap karnival ini dapat membantu ibu bapa cakna sekali gus berusaha menyediakan makanan seimbang dan penuh nutrisi kepada anak-anak mereka selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang menyambut baik program itu dan berharap dapat mengurangkan masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin (dua,kanan) bersama Ahli Penasihat Kesihatan Awam Negeri Dr Mohammad Farhan Rusli (dua, kiri) mendengar penerangan berhubung penyediaan makanan bernutrisi di Karnival Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) di Sekolah Kebangsaan (1) Jalan Batu Tiga, Klang pada 14 Oktober 2023. Foto SHEEDAFATHIL/SELANGORKINI

“Terima kasih memilih Bandar Baru Klang sebagai lokasi pertama karnival, kita sedia bekerjasama lagi dengan Pejabat EXCO untuk memperkasa program kesihatan di sini pada masa akan datang,” kata Dr Quah Perng Fei.

Terdahulu, antara pengisian karnival hari ini termasuklah kaunseling pemakanan dan minda sihat, pameran kesihatan serta saringan kesihatan untuk kanak-kanak secara percuma.

Selain itu, turut diadakan persembahan kebudayaan, permainan interaktif dan pertandingan mewarna khusus kepada kanak-kanak, pertandingan gusti lengan serta cabutan bertuah.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 2,800 kanak-kanak dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di Selangor menerima bantuan makanan berkhasiat.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif menerusi ASAS itu meliputi pemberian susu tepung penuh krim, biskut, bijirin dan multivitamin dengan peruntukan RM500,000.


Pengarang :