Oleh Akmal Uzair
Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA
Apakah puisi-puisi “healing” layak dianggap sebagai puisi sebenar? Saya pernah membaca puisi-puisi bergenre “healing” karya The Faiz Ibrahim sekitar 2020. Faiz boleh dikatakan antara penulis terawal mempopularkan penulisan puisi “healing” sejak sebelum terma itu sendiri menjadi trend. Saya mengenal puisi secara informal pada awalnya melalui buku puisi dan catatan Faiz yang bertajuk ‘Reinkarnasi’. Membacanya tidak mengambil masa lama. Dalam satu malam sahaja saya sudah habis membacanya (saya tidak tidur). Sejujurnya, puisi-puisinya enak kerana ia membawa hal-hal yang mudah dikaitkan dengan diri setiap pembaca (baca: hal-hal umum seperti cinta dan persahabatan).
Puisi-puisi “healing” menjadi begitu popular kerana gaya penulisannya mudah difahami setiap lapisan masyarakat lebih-lebih lagi muda-mudi yang ketagihan katarsis termasuklah diri saya ketika itu. Pembaca puisi “healing” tidak perlu menjalani proses berfikir terlalu rumit untuk memahami-merasainya. Hal ini berlainan puisi-puisi bergenre lain yang berusaha memuatkan pelbagai imej, simbol, metafora dan banyak lagi radas sastera atas nama meningkatkan nilai estetika karya tersebut. Oleh itu, ramailah pembaca terutamanya golongan muda terkejar-kejar mencandui puisi-puisi “healing” bagai orang mengantuk yang disorongkan bantal. Mudahnya memahami puisi-puisi “healing” seperti karya Faiz Ibrahim menyebabkan hati saya berkata, “Oh, macam ini rupanya puisi. Kalau macam ini, aku pun boleh tulis!”
Puisi dan muzik
Sebagai penggemar muzik, saya suka menyamakan situasi ini dengan industri muzik. Kita ada lagu-lagu arus perdana yang hampir semua orang menikmatinya atau paling tidak pun, pernah mendengarnya, manakala lagu-lagu alternatif/indie pula jumlah pendengar jauh lebih kecil berbanding lagu-lagu arus perdana. Dalam kes ini, puisi “healing” bolehlah dikategorikan sebagai puisi arus perdana dek lambakannya di pasaran manakala puisi-puisi yang berlainan genre daripadanya boleh disinonimkan dengan puisi alternatif yang kurang mendapat sambutan umum.
Puisi-puisi “healing” menggunakan formula serupa dengan lagu-lagu arus perdana untuk memecah-masuk pasaran; bahasa mudah dan paling penting, ia tidak memerlukan tenaga berfikir yang banyak untuk dinikmati. Atas sebab inilah kita senang sekali untuk menghafal lagu-lagu arus perdana dan mendengarnya hampir setiap masa. Maka, terkapai-kapailah puisi alternatif di tengah-tengah lautan puisi “healing” serupa lagu-lagu alternatif diketawakan oleh lagu-lagu arus perdana. Walaupun begitu, hanya kerana puisi “healing” bersifat demikian, tidak bermaksud ia tidak berkualiti. Hal ini tidak pula bermaksud puisi alternatiflah paling berkualiti. Tidak.
Berbalik kepada soalan yang ditimbulkan pada awal tulisan ini, sebenarnya tidak tepat untuk kita mengatakan puisi-puisi “healing” bukannya puisi “sebenar” hanya kerana ia tidak memerlukan kita untuk berfikir kritis. Hal ini demikian kerana sesuatu yang kita definisikan sebagai “puisi” itu adalah apa yang kita nampak melalui ilmu (pembacaan), pengalaman, dan minat kita sendiri. Saya tidak percaya lagi bahawa kita mampu menentukan yang mana puisi atau bukan puisi. Sebaliknya, yang ada hanyalah puisi yang baik/unik dan puisi yang bosan/klisè seperti yang dibincangkan oleh Fahd Razy dalam bukunya ‘Sains Menulis Puisi’. Lagi pula, kini, puisi telah pun berkembang dan wujud dalam pelbagai bentuk dan kita juga perlu menerima hakikat tidak semua orang membaca atau menulis semata-mata atas nama sastera. Maka, jika penulis puisi-puisi “healing” sendiri menyebut tulisannya itu sebagai puisi, apa hak kita untuk menafikan?
Untuk memudahkan penerimaan kita terhadap kewujudan puisi-puisi “healing” ini, saya fikir ada eloknya kita merenung tulisan Ridhwan Saidi dalam eseinya di penghujung buku sajak grotesnya, ‘Holokos’:
“…jika sesebuah penulisan itu menggunakan bahasa yang hancur tetapi memberi suatu perasaan sebenar, bukankah lebih baik daripada sesebuah penulisan dengan bahasa ‘terjaga’ tetapi memberi perasaan juvenil yang klisè?”
Melalui pernyataan Ridhwan, kita dapat merumuskan sesuatu; tidak kiralah sesebuah puisi itu muncul dalam apa jua bentuk sekalipun termasuklah apabila ia melawan norma penulisan sedia ada, namun jika mesej/perasaan/ideologi/isu yang ingin disuarakan penulisnya disampaikan kepada pembaca dengan berkesan, apa salahnya? Jika puisi “healing” terasa sangat dekat di hati seseorang pembaca itu, apa salahnya?
Populariti ‘healing’
Penulis-penulis puisi “healing” yang lazimnya memiliki populariti dan akses terhadap pasaran buku yang besar sebenarnya memiliki tanggungjawab besar secara tidak langsung iaitu keupayaan mempengaruhi masyarakat umum. Bak kata Uncle Ben, “with great power comes great responsibility”. Seperti lagu-lagu arus perdana yang memberi kesan kepada pendengar yang lebih ramai berbanding lagu-lagu alternatif, puisi “healing” lebih berupaya memberi persepsi terhadap masyarakat umum tentang “apa itu puisi?” yakni dari segi bentuk, gaya bahasa, lenggok, mesej dan lain-lain. Hal ini yang perlu ditakutkan.
Jika hanya puisi-puisi “healing” sahaja yang dibaca umum, maka persepsi umum terhadap “apa itu puisi?” menjadi sangat terhad sementara di luar pengetahuan kita, terdapat lebih banyak lagi puisi-puisi yang jauh lebih baik. Tindakan mengehadkan diri kita dengan sekadar membaca puisi “healing” tidak lain hanyalah menyempitkan lagi pemahaman kita terhadap “apa itu puisi?” dan mungkin secara tidak langsung “apa itu sastera?”.
Buat pembenci puisi “healing”, saya faham perasaan anda untuk menjaga nama seni dan sastera tetapi usahlah menjadi ‘gatekeeper’ untuk insan-insan yang baru menerokai dunia puisi terutamanya remaja/pelajar-pelajar. Mungkin karya-karya sebegini akan mendorong mereka meneroka dunia puisi dengan lebih lagi.
Buat peminat puisi “healing” pula, keluarlah dari kepompong dan sedarlah dunia ini terlalu luas dan hidup ini terlalu singkat untuk sekadar membaca puisi-puisi “healing”. Tidak ghairahkah anda untuk menerokai dunia puisi yang teramat luas ini? Kerana menerokai dunia puisi yang teramat luas juga sebahagian fitrah kita sebagai manusia untuk sentiasa menuntut ilmu yang tidak pernah habis di dunia Tuhan Maha Esa ini.