Jabatan Landskap MPAJ bersama Kebun Komuniti Pegaga meraih naib johan dalam Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) bagi kategori akar umbi sempena Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor di Kuala Lumpur pada 23 Oktober 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya – Rasmi
AGENSISELANGOR

Kebun tuai banyak hasil guna teknologi internet segalanya

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kerja keras 21 ahli Kebun Komuniti Pegaga mengusahakan pertanian moden berkonsep internet segalanya (IoT) di Taman Bukit Indah, Ampang tiga tahun lalu nyata berbaloi.

Bukan sahaja tanaman cendawan, cili dan sayuran lain meningkat, malah kebun seluas 5,000 kaki persegi itu dinobat naib johan Anugerah Inovasi Negeri Selangor (AINS) bagi kategori akar umbi.

Pengerusinya berkata kebun bandar atas tanah milik Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) awalnya diusahakan secara konvensional pada 2015, namun ditukar kepada kaedah moden susulan pandemik.

Datuk Mohammad Aziz Sitam menjelaskan hasil tanaman yang semakin bertambah kemudian dipasarkan dengan lebih luas berbanding sebelum ini hanya digunakan komuniti sekitar.

Pengerusi Kebun Komuniti Pegaga Datuk Mohammad Aziz Sitam

“Kawasan kebun kami kecil dan padat tetapi dengan inovasi dan peralihan kepada sistem IoT, kami dapat tuai banyak hasil. Misalnya cendawan, kami guna sistem rumah hijau.

“Kami berterima kasih kepada MPAJ kerana bantu sediakan tanah untuk bersama mewujudkan kebun bandar yang padat. Mereka juga sentiasa menyelia dan memantau keperluan kebun,” katanya.

Mohammad Aziz menambah ganjaran yang diperoleh dalam anugerah tersebut akan digunakan untuk menjalankan pelbagai aktiviti pertanian moden yang dirancang bersama ahlinya.

Kebun Komuniti Pegaga meraih hadiah RM2,500 berserta sijil yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor semalam.

AINS 2023 menerima 220 penyertaan membabitkan pelbagai kategori sektor awam, swasta, institusi pengajian tinggi, sekolah dan akar umbi, dengan hanya 70 layak ke peringkat akhir September lalu.

Diperkenal pada 2010, inisiatif itu memberi peluang kepada semua penduduk negeri ini mencetus idea baharu yang kreatif dan inovatif ke arah pembudayaan inovasi di Selangor.


Pengarang :