Keadaan jerebu yang dirakam dari Menara Kuala Lumpur pada 7 Oktober 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Kerajaan ambil pendekatan diplomasi selesai isu jerebu

SHAH ALAM, 12 OKT: Tiada peruntukan undang-undang khas yang boleh dikuat kuasa kepada syarikat atau negara yang menjadi punca jerebu rentas sempadan.

Menteri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan bagaimanapun mengambil pendekatan diplomasi dan rundingan bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Pencemaran jerebu tidak dapat diselesaikan dengan tuding jari atau kuat kuasa undang-undang semata-mata. Kerajaan sudah kemukakan nota diplomatik dan sedia membantu padam kebakaran di negara jiran.

“Kita juga mengambil pendirian tegas untuk tidak mempertahankan mana-mana syarikat Malaysia yang didakwa melakukan pembakaran terbuka di Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Nik Nazmi berkata kerajaan berhasrat menambah baik perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) selain mengkaji penggubalan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA).

“Bergerak ke depan, mungkin perlu dalam kalangan negara ASEAN untuk kita memperbaiki AATHP ini.

“Di bawah perjanjian sedia ada, tiada tindakan punitif yang boleh diambil ke atas syarikat atau negara yang menyebabkan jerebu rentas sempadan,” katanya menjawab soalan tambahan Yeo Bee Yin (HARAPAN-Puchong).


Pengarang :