EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin melawat pameran selepas merasmikan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, Shah Alam pada 28 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kios buang sisa elektronik di 3 stesen minyak sekitar Bandar Utama, Petaling

SHAH ALAM, 28 OKT: Kios pembuangan sisa elektronik disediakan di tiga stesen minyak sekitar Bandar Utama, Petaling bagi memudahkan orang ramai melupus alat peranti.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata inisiatif dengan kerjasama stesen BHPetrol dan Petronas yang dijangka bermula akhir tahun ini menjadi projek rintis sebelum diperluas ke tempat lain.

“Kita memang ada tempat buang sisa elektronik di pihak berkuasa tempatan (PBT) tapi bukan semua ada. Jadi agak sukar untuk orang awam membuang peralatan mereka.

“Dengan adanya kios ini, ia lebih mudah. Stesen minyak juga kawasan tumpuan. Mereka boleh bawa bila-bila masa namun peranti mesti bersaiz kecil seperti bateri, telefon bimbit, pengecas bateri tambahan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar Negara 2023 peringkat negeri hari ini.

Jamaliah berkata pihaknya bersama jabatan alam sekitar akan meneliti serta memantau semua aspek termasuk isu keselamatan.

“Kita akan lihat kekerapan kutipan sisa elektronik ini kerana tidak mahu timbulnya isu keselamatan. Semua tahu barangan ini berkait dengan keselamatan.

“Kita juga lihat kesesuaian lokasi stesen sebab bukan semua tempat boleh diletak kios ini. Jadi, projek rintis akan dilaksana sebaik mungkin supaya lebih banyak stesen minyak yang mahu bekerjasama,” katanya.


Pengarang :