Kempen larangan merokok dan rokok elektronik (vape) di premis makanan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM keluarkan 4,753 kompaun merokok nilai RM1.2 juta takat September

PUTRAJAYA, 20 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan 4,753 kompaun bernilai RM1.2 juta sepanjang September lalu atas kesalahan merokok, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Sejumlah 9,848 notis kesalahan pula dikeluarkan daripada 23,093 premis yang dilawati melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit demam denggi, Dr Muhammad Radzi berkata 2,566 kompaun bernilai RM1.28 juta telah dikeluarkan dengan purata RM500 bagi setiap kompaun.

Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 6,003 premis makanan telah diperiksa pada bulan lepas dengan 176 premis telah diarah tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan oleh KKM adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :