AGENDANASIONAL

KKM: Kes demam denggi dijangka melonjak hujung 2023

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Kes demam denggi dijangka naik mendadak mulai hujung tahun ini berdasarkan trend kes sejak 10 tahun lalu, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Wan Ming Keong.

Katanya corak itu dilihat berada di kemuncak setiap empat atau lima tahun dan dipercayai disebabkan oleh perubahan serotaip yang dominan di sesuatu kawasan.

“Kemuncak terakhir yang dilaporkan ialah pada 2019. Sebab itu kita jangka hujung tahun ini atau pada tahun depan kes akan ke kemuncak lagi. Salah satu faktor penyumbang ialah perubahan serotaip virus.

“Denggi ada empat serotaip (DENV-1 hingga DENV-4). Setiap kali serotaip yang dominan di sesuatu kawasan bertukar ke serotaip lain, kes akan meningkat kerana sistem imun penduduk setempat terhadap serotaip baru masih rendah, menyebabkan mereka senang dijangkiti,” katanya.

Bagaimanapun pesakit yang sembuh daripada setiap serotaip akan mendapat perlindungan seumur hidup bagi serotaip tersebut. Ini menyebabkan jumlah maksimum seseorang boleh dijangkiti denggi sepanjang hidupnya hanya empat kali.

Namun katanya, pesakit yang terkena jangkitan denggi buat kali kedua akan mengalami komplikasi lebih serius.

Menurutnya, pada tahun lalu tiada perubahan serotaip daripada DENV-3 ke DENV-4 dilaporkan tetapi situasi itu telah berubah tahun ini.

“Apa yang kita perhatikan pada tahun ini ialah DENV-4 dah ubah kepada DENV-2. Selagi ada pertukaran serotaip (dominan), kes akan berterusan dan meningkat,” kata Dr Wan yang berkhidmat di Bahagian Kawalan Penyakit, KKM.

Katanya punca lain kes denggi meningkat ialah kerana hanya satu dalam empat pesakit denggi bergejala manakala pesakit lain tidak mempunyai gejala.

“Bagi yang tidak bergejala ini, mereka tidak akan mendapatkan rawatan kerana tidak tahu mereka sudah dijangkiti.

“Jadi bila mereka bergerak ke kawasan baru, nyamuk yang tidak membawa virus itu akan menghisap darah pesakit yang sudah dijangkit denggi itu.

“Seterusnya virus yang dihisap menular di kawasan baru apabila nyamuk Aedes menggigit mangsa lain,” jelasnya.

Kumulatif kes yang dilaporkan dari minggu epidemiologi ke-36 adalah 82,485 kes. Ia meningkat 43,297 kes atau 110 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Manakala kumulatif kematian pula setakat ini 59 kematian berbanding 24 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

Dalam memastikan keadaan terkawal, KKM sedang mempertingkatkan kebolehupayaan pejabat kesihatan daerah atau pejabat kesihatan negeri dalam mengawal jangkitan itu.

“Bagi semua daerah yang dilanda wabak denggi, kami akan jalankan aktiviti peniaian risiko dari segi persekitaran dan juga entomologi iaitu indeks berkaitan.

“Berdasarkan ini, kami akan ambil tindakan iaitu aktiviti pemusnahan tempat pembiakan atau source reduction,” jelasnya.

Sementara itu, KKM juga melakukan sesi libat urus bersama agensi berkepentingan untuk menyokong aktiviti pengawalan dan pencegahan berkaitan denggi.

“Salah satu contoh adalah gotong-royong di peringkat kebangsaan iaitu Gotong Royong Mega Perangi Aedes yang dilaksanakan dua kali setahun,” katanya.

KKM juga membuat pelepasan nyamuk Aedes berwolbachia di 28 lokaliti pada tujuh negeri bagi meningkatkan usaha pencegahan dan kawalan denggi.

– BERNAMA


Pengarang :