Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyertai acara ‘Fun Walk’ bersama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli (dua, kiri) selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara 2023 peringkat negeri di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra pada 14 Oktober 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

KPM pastikan agenda Belanjawan 2024 dilaksana penuh tanggungjawab

KANGAR, 14 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) yang mendapat peruntukan terbesar menerusi Belanjawan 2024 Malaysia MADANI, komited untuk memastikan agenda dalam belanjawan itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya menyambut peruntukan keseluruhan sebanyak RM58.7 bilion itu dalam perspektif yang dirasakan sebagai perjuangan untuk pendidikan manusiawi selama ini.

“Alhamdulillah KPM masih lagi menjadi kementerian menerima peruntukan terbesar…paling penting dalam konteks dasar adalah jelajah pendidikan masa depan negara,” katanya ditemui selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perlis 2023 di sini hari ini.

Semalam media melaporkan pendidikan kekal sebagai komponen utama menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI apabila RM58.7 bilion diperuntukkan kepada KPM berbanding RM55.2 bilion pada 2023.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara.

Selain itu, 26 sekolah baharu akan dibina dengan kos keseluruhan projek RM2.5 bilion termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-Laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, (Sarawak); SMK Seri Melati, Kuantan (Pahang); SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar (Perak) dan SMK Binjai, Kota Bharu (Kelantan).

Selain itu, 18 blok baharu Pendidikan Khas akan dibina dengan peruntukan RM180 juta melibatkan SMK Kubang Rotan, Kedah; Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda (Pulau Pinang) dan SMK Dato Ali Ahmad (Perlis) dalam usaha memperkasa dan melindungi kesejahteraan murid berkeperluan khas.

Fadhlina berkata pembinaan 26 sekolah baharu yang diumumkan perdana menteri dalam belanjawan itu merupakan peruntukan terbesar pernah diterima oleh KPM.

– BERNAMA


Pengarang :