Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 10 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Langkah kurang beban hidup rakyat diumum dalam belanjawan Jumaat ini

SHAH ALAM, 10 OKT: Beberapa langkah mengurangkan beban hidup rakyat yang terkesan dengan situasi ekonomi semasa akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat ini, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedaya upaya berikhtiar untuk mengurangkan beban hidup rakyat terutamanya golongan miskin dan pertengahan.

“Kita tahu kos sara hidup jadi masalah dan rakyat memang terkesan. Ada beberapa langkah yang sebahagiannya insya-Allah saya akan umumkan Jumaat ini untuk mengurangkan (beban rakyat).

“Saya beri jaminan kita akan berikhtiar sedaya upaya untuk mengurangkan beban kepada rakyat yang miskin atau di bawah termasuk M40 yang terkesan dengan senario ekonomi yang ada sekarang yang turut berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Hashim ingin tahu langkah kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat susulan situasi ekonomi semasa di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut menjelaskan perbincangan bersama pemimpin negara luar turut diadakan berhubung kos sara hidup meningkat ke arah mencari penyelesaian jitu terhadap perkara itu.

“Esok atau lusa Perdana Menteri Thailand (Srettha Thavisin) datang (lawatan rasmi ke Malaysia). Antara tajuk yang akan dibincang adalah kos sara hidup meningkat di Thailand dan Malaysia dan apa yang boleh dilakukan untuk mengurangan beban (rakyat),” katanya.

Anwar dijangka membentangkan Belanjawan 2024 Jumaat ini di Dewan Rakyat yang menjadi pembentangan kedua Perdana Menteri selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 2 Disember tahun lalu.


Pengarang :