Jemaah mendengar khutbah yang disampaikan Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 29 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Larang aktivis politik elak fitnah, bawa perpecahan umat Islam

SHAH ALAM, 9 OKT: Larangan aktivis politik memegang tauliah mengajar agama di Selangor mengelak penyebaran propaganda politik berunsur fitnah dan kebencian yang membawa perpecahan umat Islam.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan larangan itu juga untuk menghalang medan dakwah disalah guna dan pengajaran agama sebagai gelanggang politik.

“Ini adalah suatu langkah preventif untuk mencegah sebarang mafsadah atau kerosakan daripada berlaku berdasarkan dalil sadd al-zara’i’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan umat Islam memahami maksud dan tujuan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak perkenan tauliah mengajar agama diberikan kepada aktivis politik.

Jelasnya, aktivis politik yang dimaksudkan tidak terhad kepada orang berjawatan dalam parti tetapi merangkumi aktiviti yang secara jelas mempengaruhi masyarakat untuk menyokong pihak tertentu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ditemui pada program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka Mais di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“(Mereka ini) mengajak dan mempengaruhi masyarakat Islam untuk menyokong atau memihak kepada parti politik tertentu secara terbuka sehingga melahirkan sikap partisan dan fanatik serta berpuak-puak,” katanya.

Mengulas penarikan tauliah terhadap Dusuki Abdul Rani, Abdul Aziz berkata penceramah itu tergolong dalam aktivis politik dimaksudkan hasil siasatan dan pengesahan tapisan keselamatan polis.

Mais turut menyelar kenyataan penceramah berkenaan di Facebook rasminya yang mendakwa agensi itu berbohong dan menjadi pemecah umat Islam serta ejen kepada gerakan liberal.

“Mais menegaskan kenyataan itu mempunyai unsur fitnah tanpa memahami maksud serta hikmah larangan penglibatan aktivis politik sebagai pemegang tauliah mengajar agama di Selangor,” katanya.

Pada 5 Oktober, Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan penarikan balik tauliah mengajar agama terhadap Dusuki oleh Mais berikutan ketidakpatuhan tatacara semasa proses itu dibuat.

Mais yang akur dengan keputusan itu kemudian menjelaskan tindakan tersebut dibuat selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

 


Pengarang :