Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lawatan kerja PM ke luar negara tarik ratusan bilion ringgit potensi pelaburan

SHAH ALAM, 10 OKT: Ratusan bilion ringgit potensi pelaburan berjaya ditarik menerusi 17 siri lawatan kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara sejak menjawat jawatan perdana menteri.

Perdana menteri berkata negara terlibat termasuk negara ASEAN, China, Amerika Syarikat dan Emeriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata di China potensi pelaburan RM170.07 bilion berjaya ditarik dan memaklumkan esok wakil syarikat pengeluar kereta, Geely akan bersama-samanya ke Tanjung Malim, Perak untuk pelaksanaan projek besar-besaran, Automotive High Tech Valley.

“Pada Mac di China potensi pelaburan RM170.07 bilion. Esok Insya-Allah Geely akan bersama-sama ke Tanjung Malim untuk laksana projek besar-besaran Automotive High Tech Valley,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing yang ingin tahu mengenai hasil lawatan ke luar negara termasuk pelaburan, kerjasama antara negara dan tahap keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar turut memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Elon Musk memberi jaminan ibu pejabat syarikat berkenaan di Cyberjaya dijangka siap bulan ini.

Beliau berkata hasil lawatan kerjanya ke New York, Amerika Syarikat berjaya membawa potensi pelaburan sebanyak RM4.74 bilion.

“Ini termasuk dari Boeing dan Airbus kerana seperti yang kita tahu syarikat ini menetapkan supaya komponen untuk sayap pesawat (keluarannya) itu (dibuat) kebanyakan di Malaysia iaitu Negeri Sembilan. Pelaburan lain termasuk Google, Medtronic dan Alton Industry Ltd. Group,” katanya.

Katanya melalui lawatan ke UAE pelaburan komited daripada negara itu berjumlah RM40.6 bilion melibatkan sektor tenaga boleh baharu, logistik dan aeroangkasa.

“Ini suatu perkembangan yang sangat baik kerana di dalam lawatan itu kita mendapat komitmen daripada Presiden UAE Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan Presiden UAE,” katanya.

Sebelum ini Anwar memaklumkan kemasukan pelaburan Tesla dijangka membuka puluhan ribu peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan merancakkan pembangunan ekonomi negara menerusi pembangunan industri kenderaan elektronik (EV).


Pengarang :