Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bersama pelatih Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKK) ketika pelepasan Mobilisasi Jururawat Pelatih sempena Madani Afiat dan Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 One Hour Malaysia Clean Up Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 9 Julai 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 14,000 lepasan institut latihan KKM diserap dalam perkhidmatan

IPOH, 21 OKT: Sejumlah 14,619 lepasan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) diserap ke dalam perkhidmatan sejak 2018 hingga Jun lalu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata ILKKM juga merupakan penyumbang terbesar bagi pengeluaran anggota kesihatan terlatih di negara ini.

“Sebanyak 19 institusi latihan di bawah KKM (Kementerian Kesihatan) di seluruh Malaysia menawarkan 64 program Paramedik dan Auksilari Kesihatan iaitu 13 Program Pra Perkhidmatan, satu Program Diploma Kejururawatan (Peralihan) dan 50 program di peringkat Diploma Lanjutan dan Sijil Pos Basik.

“Daripada jumlah ini, 38 program latihan dalam bidang kepakaran adalah khusus ditawarkan di ILKKM dan tidak ditawarkan di mana-mana pusat pengajian lain di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan sesi pertama Istiadat Konvokesyen ILKKM Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata tahun ini sahaja KKM menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam menerima 1.4 juta permohonan untuk menyertai program latihan di bawah ILKKM, sekali gus menunjukkan institut itu setanding dengan institusi atau agensi lain yang menyediakan program latihan anggota sains kesihatan.

Beliau berkata pada masa ini KKM sedang berusaha meningkatkan promosi bagi program lanjutan dan bidang kepakaran yang kritikal antaranya kebidanan, kesihatan awam dan perawatan neonatal.

Mengulas mengenai doktor kontrak, katanya seramai 2,083 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke perkhidmatan tetap dan akan melapor diri Disember ini.

Sementara itu, 8,643 graduan dari pelbagai program pengajian di ILKKM seluruh negara terlibat dalam istiadat konvokesyen tahun ini, bertema ‘Graduan ILKKM Cemerlang, Pendukung Kesihatan Madani”.

– BERNAMA


Pengarang :