Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan peti undi untuk pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, Bentong pada 6 Oktober 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Lebih 16,000 pengundi DUN Pelangai memilih wakil rakyat hari ini

BENTONG, 7 OKT: Sebanyak 16,383 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini.

Tepat 8 pagi ini, sembilan pusat mengundi melibatkan 30 saluran akan dibuka hingga 6 petang, sebelum proses penjumlahan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul di sini.

Cuaca diramalkan baik di daerah Bentong pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka pada waktu petang, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagaimanapun, tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan pada 3 Oktober lalu, selepas SPR mengeluarkan 73 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos pada PRK itu.

PRK berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Johari menang dengan majoriti 4,048 undi menewaskan calon Kasim (PN), calon Pakatan Harapan Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan calon Pejuang Isa Ahmad.

PRK DUN Pelangai merupakan PRK keempat diadakan selepas PRU15 pada 19 November lalu, selepas PRK Parlimen Kuala Terengganu pada 12 Ogos serta PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang diadakan serentak pada 9 September.

– BERNAMA


Pengarang :