EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berucap pada majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 30,000 wanita di Selangor dapat manfaat program bantuan negeri

SHAH ALAM, 26 OKT: Lebih 30,000 wanita bekerja dan tidak bekerja di Selangor mendapat manfaat menerusi beberapa program bantuan sokongan yang diperkenalkan Kerajaan Negeri.

Menurut EXCO pembangunan wanita, inisiatif meliputi Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar), iaitu subsidi yuran taska atau pusat jagaan kanak-kanak berjumlah RM100 selama setahun yang memanfaatkan 505 penerima.

Anfaal Saari berkata bantuan lain Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) bernilai RM50 yang disalur terus kepada tadika berdaftar dengan 2,174 individu memperoleh manfaat diperkenal sejak 2012.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari merasmikan majlis Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Selain itu, Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dengan wang tunai RM300 disalur setiap bulan selama dua tahun kepada 27,000 keluarga berpendapatan bawah RM3,000.

“Jumlah ini termasuk penerima insentif RM1,000 bagi program MamaKerja yang dilancar hari ini dengan menyasar 5,000 wanita bekerja,” katanya di Hotel Mardhiyyah di sini.

Ditemui selepas pelancaran insentif penjagaan anak MamaKerja, beliau menjelaskan Kerajaan Selangor sudah lama mengorak langkah dalam membangunkan sistem sokongan bagi kaum ibu.

Selari Rancangan Selangor Pertama (RS-1), beliau berkata pelan pembangunan lima tahun negeri menggariskan sekurang-kurangnya 12 program bagi menyokong kesejahteraan keluarga termasuk Bantuan Anak Istimewa Selangor (AnIS), Didik AnIS, insentif pendidikan dan terapi anak istimewa.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari bercakap kepada media selepas Pelancaran Insentif Penjagaan Anak Bagi Wanita Bekerja di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 26 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita akan terus berusaha membangunkan dasar dan program strategik bagi memartabat agenda pembangunan dan kesejahteraan wanita serta keluarga.

“Saya yakin jika dibangunkan sistem sokongan menyeluruh dan mampan, wanita mampu menjadi penyumbang utama kepada produktiviti dan ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :