Tangkap layar bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan kualiti udara tidak sihat di lima kawasan di Selangor setakat 2 petang pada 9 Oktober 2023. Foto laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia
AGENDANASIONAL

Lima kawasan di Selangor kekal catat IPU tidak sihat setakat 2 petang

SHAH ALAM, 9 OKT: Kualiti udara di lima kawasan di Selangor kekal tidak sihat setakat 2 petang ini, dengan Banting mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 156.

Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (Apims), kawasan lain ialah Shah Alam dan Klang masing-masing 153, Johan Setia (152) dan Petaling Jaya (132).

Turut mencatat bacaan IPU tidak sihat ialah Cheras (159), Nilai (140) dan Bukit Rambai (153).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk pautan https://apims.doe.gov.my/home.html untuk mengetahui IPU terkini.

Mei lalu, pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran jerebu lebih serius di rantau selatan Asean antara Jun dan Oktober tahun ini berikutan kemarau teruk dan berpanjangan daripada biasa.


Pengarang :