Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (empat kanan) melakukan gimik perasmian majlis pecah tanah pembinaan kemudahan sisa kepada tenaga Jeram antara Worldwide Holdings Berhad (WHB) dengan Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd di tapak pelupusan sanitari Jeram pada 17 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Loji sisa kepada tenaga di Jeram terbesar dalam negara, jana pendapatan negeri

KUALA SELANGOR, 17 OKT: Tapak loji sisa kepada tenaga (WTE) yang dibina di Jeram bakal menjadi loji pelupusan terbesar negara dan mampu memproses 3,000 tan sampah pepejal sehari.

Dato’ Menter Besar berkata binaan atas tanah seluas 30 ekar yang dijangka beroperasi mulai 2026 juga membantu pemuliharaan alam sekitar selain merangsang peluang ekonomi lebih tinggi.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, projek bersama Worldwide Holdings Berhad (WHB) dan Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd akan menerima kutipan enam pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Hari ini majlis pecah tanah bagi pembinaan loji selepas kita mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggunakan jengkaut bagi gimik perasmian majlis pecah tanah pembinaan kemudahan loji sisa kepada tenaga di tapak pelupusan sanitari Jeram pada 17 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Apabila beroperasi, sebanyak 52 megawatt sejam akan dijual kepada Tenaga Nasional Berhad dan seterusnya menyumbang ekonomi negeri,” katanya selepas merasmikan pecah tanah tapak itu hari ini.

PBT berkenaan ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif kumpulan WHB berkata WTE mampu mengurus sisa dengan cekap, sekali gus mengurangkan pencemaran bau, air larut lesap atau pelepasan gas berbahaya.

“Paling utama mampu menyumbang penjanaan tenaga boleh diperbaharui. Syarikat kekal fokus mengoptimumkan sumber demi manfaat semua pemegang taruh kami,” kata Datin Norazlina Zakaria.

Sebelum ini, Amirudin berkata teknologi WTE diberi tumpuan sejak 2018 berikutan dampaknya yang tinggi kepada ekonomi negeri dengan aspek penerokaan dibincang bersama wakil PBT, baru-baru ini.

 

 


Pengarang :