EXCO Perumahan Borhan Aman Shah (tengah) beramah mesra dengan pembentang kertas kerja dari dalam dan luar negara sempena Simposium Kesejahteraan Bandar anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Pusat Konvensyen Midlands di sini pada 23 Oktober 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LPHS anjur simposium kesejahteraan bandar, bangunkan komuniti lestari

SHAH ALAM, 23 OKT: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) julung kali menganjur simposium kesejahteraan bandar dalam usaha membangunkan komuniti yang lebih lestari.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata program itu membuktikan Kerajaan Negeri peka dan mengambil berat terhadap keperluan masyarakat selain kepentingan inisiatif Hijau.

“Penting untuk kita menyedari bahawa pemerkasaan komuniti tidak bermakna hanya tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata.

“Ia juga merangkumi pemeliharaan alam sekitar, mengurangkan ketidaksetaraan sosial dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan hari ini.

Program anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu mengangkat tema ‘Pemerkasaan Komuniti Ke Arah Kelestarian Bandar dan Selangor Mampan’.

Diadakan di Pusat Konvensyen Midlands di Seksyen 7 di sini, ia turut menampilkan sesi wacana dan pembentangan kertas kerja dari pemikir tempatan dan luar negara.

Antara pakar terlibat ialah Prof Madya Dr Nor Zalina Harun, Pensyarah Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM dan bekas pengarah Community Organization Development Institute (CODI) Thailand, Thipparat dan Noppadarom.

Simposium berkenaan dihadiri lebih 100 perwakilan dari pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin masyarakat dan pemain industri.

 


Pengarang :