Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail (dua, kanan) meninjau sungai selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang dan Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LUAS hasrat kemuka polisi sifar lepas bahan buangan, tekad tangani pencemaran

AMPANG JAYA, 16 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan mengemukakan kerangka polisi sifar lepas bahan buangan (zero discharge policy) kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh terdekat.

Pengarahnya Hasrolnizam Shaari berkata polisi bagi menangani isu pencemaran sungai berpunca pelbagai aktiviti sudah disiapkan dan pelaksanaannya dijangka bermula selewat-lewatnya tahun depan.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Hasrolnizam Shaari. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Polisi ini wajar diketengahkan berikutan keadaan semasa di seluruh lembangan sungai di Selangor yang dipenuhi pelbagai aktiviti. Jadi untuk ada kawalan (aktiviti), kita cadangkan pendekatan ‘zero discharge policy’.

“Kita sudah siapkan kerangka peraturan baharu dan akan kemukakan kepada Kerajaan Negeri. Kita percaya sedikit masa lagi keputusan terhadap pendekatan tersebut akan dibuat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sambutan Hari Sungai Sedunia dan program Kutip Sampah Sambil Riadah di Sungai Ampang, Kampung Muhibah Lembah Jaya di sini semalam.

Kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta pelbagai agensi lain menyertai Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang serta sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto MPAJ

Sebelum ini, agensi itu memaklumkan akan meneliti polisi pelepasan sifar selaras dengan Seksyen 44(1)(b) Enakmen LUAS 1999 untuk dilaksanakan pada masa depan bagi mengurangkan bebanan pencemaran sungai.

Pada 13 Mac 2021, LUAS dipetik berkata terdapat 1,187 aktiviti dikesan boleh mengakibatkan pencemaran di pinggir enam sungai.

Jumlah itu melibatkan 537 akitiviti risiko pencemaran di Sungai Sembah, Sungai Klang (475), Sungai Damansara (100), Sungai Semenyih (60), Sungai Baranang (9) dan Sungai Rinching (6).

Hasil kajian inventori agensi itu, kegiatan risiko pencemaran sungai termasuk perkilangan, pertanian, kediaman, perniagaan, perkhidmatan, penternakan dan akuakultur.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad turut serta mengutip sampah pada Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang dan Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto MPAJ

Pengarang :