Pemandangan pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya yang diselubungi jerebu pada 2 Oktober 2023. Foto Facebook Bernama
AGENSISELANGOR

LUAS kongsi tips hadapi jerebu, pakai pelitup muka, banyakkan minum air

SHAH ALAM, 9 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkongsi beberapa langkah perlu dilakukan dalam menghadapi musim jerebu yang melanda ketika ini.

LUAS menerusi Facebook memaklumkan orang ramai diminta menghadkan aktiviti luar dan banyakkan minum air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

“Jerebu merupakan satu fenomena yang berpunca daripada kehadiran banyak partikel kecil yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan ia boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai.

“Justeru, orang ramai disarankan mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan kesan buruk jerebu kepada kesihatan,” maklum LUAS.

Antara tips lain adalah orang ramai perlu memastikan udara dalam rumah sentiasa bersih dan kurangkan pencemaran seperti asap rokok atau pembakaran terbuka.

Selain itu, sekiranya berada di luar rumah dinasihatkan memakai pelitup muka, memandu gunakan penyaman udara dalaman dan basuh muka serta tangan selepas melakukan aktiviti luar.

Orang ramai boleh merujuk pautan https://apims.doe.gov.my/home.html untuk mengetahui Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terkini.

Pihak berkuasa cuaca dan iklim memberi amaran jerebu lebih serius di rantau selatan Asean antara Jun dan Oktober tahun ini berikutan kemarau lebih teruk dan berpanjangan daripada biasa.


Pengarang :