Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor memeriksa tahap kekeruhan air di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang selepas mengesan air keruh melebihi 2,000 tingkat kekeruhan air (NTU) ekoran hujan lebat pada 12 Oktober 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

LUAS pantas atasi aliran keruh di Sungai Selangor, elak operasi LRA terganggu

SHAH ALAM, 13 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertindak pantas mengatasi aliran air keruh di Sungai Selangor sejurus mengesan kekeruhan melebihi 2,000 tingkat kekeruhan air (NTU) di muka sauk loji rawatan air (LRA) Rantau Panjang ekoran hujan lebat lewat petang semalam.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin memaklumkan tindakan pantas agensi itu berjaya mengelakkan operasi LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 terganggu.

“Bermula jam 12 tengah malam tadi sehingga kini bacaan kekeruhan Sungai Selangor di muka sauk LRA Rantau Panjang menunjukkan tren menurun dan dapat disegerakan kembali normal.

“Keadaan semasa Sungai Selangor adalah terkawal dan tiada risiko kepada operasi LRA Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaliah menambah siasatan LUAS di sepanjang Sungai Selangor semalam turut mengenal pasti beberapa lokasi projek atau aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada aliran pelepasan dengan kadar kekeruhan yang tinggi.

“Ia pada jarak sekitar 17 hingga 19km dari muka sauk LRA Rantau Panjang dan akan mengalir ke anak-anak sungai merangkumi Sungai Guntong, Sungai Serendah, Sungai Garing, Sungai Sembah dan akhirnya ke sungai utama iaitu Sungai Selangor.

“LUAS menyelaraskan kerjasama bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor bagi melaksanakan pemantauan kelulusan pelan kerja tanah untuk projek pembangunan berkaitan di lokasi berpotensi.

“Pensampelan dilaksanakan LUAS di beberapa lokasi berpotensi ini akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisa dan tindakan lanjut penguatkuasaan yang berkaitan di bawah Enakmen LUAS 1999,” katanya.

Jamaliah menegaskan Kerajaan Negeri dan LUAS sentiasa komited dan proaktif dalam memastikan kelangsungan sumber air di negeri ini dan menyeru semua pihak bertanggungjawab memastikan sumber air terpelihara.


Pengarang :