Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) Md Yusmizan Yusuf (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada penerima selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan pertama Persatuan Bekas Kakitangan Stesen Televesyen Media Berhad (ERATV) di Dewan Al-Hafiz, Jalan Kebun, Seksyen 29, Shah Alam pada 31 Oktober 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS hulur bantuan bulanan, perubatan kepada lima bekas pekerja Media Prima

SHAH ALAM, 31 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan kewangan secara bulanan kepada lima bekas pekerja Kumpulan Media Prima Berhad.

Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnafnya Md Yusmizan Yusof berkata empat daripada mereka menerima bantuan kewangan RM500 sebulan selain bayaran tunggakan ansuran rumah serta bil utiliti.

“Manakala seorang lagi penerima menerima bantuan perubatan bagi pembelian alat cucian luka, ujian glukosa, susu khas dan kerusi roda baharu selain bantuan kewangan RM500 secara bulanan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan persatuan bekas kakitangan Stesen Televisyen Media Prima (ERATV) di Dewan Al-Hafiz, Jalan Kebun, di sini hari ini.

Md Yusmizan berkata pihaknya bekerjasama dengan ERATV untuk menyelaraskan bantuan dan meringankan beban ahli persatuan tersebut.

“Persatuan ERATV ini mengumpul bekas kakitangan TV3 jadi kami mengambil langkah bekerjasama dengan membantu mereka yang terjejas sumber pendapatan dan kesihatan agar tidak keciciran,” katanya.

Sementara itu, pengerusi tetap Persatuan ERATV Badariah Abd Jalil menghargai keprihatinan LZS menghulurkan bantuan kepada bekas pekerja syarikat tersebut.

“Pihak kami bekerjasama dengan LZS untuk menjejaki mereka yang mengalami masalah kesihatan sehingga menjejaskan pendapatan. Bantuan ini diharao akan meringankan beban mereka,” katanya.

Pengarang :