Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini (dua, kanan) pada majlis penyerahan cek cura bantuan baik pulih Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Masjid Darul Ehsan di Subang Jaya pada 5 Oktober 2023. Foto Facebook LZS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS peruntuk RM95,000 baik pulih kemudahan, surau dua sekolah

SHAH ALAM, 13 OKT: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk lebih RM95,000 bagi kerja baik pulih kemudahan dan surau di dua sekolah daerah Petaling.

Agensi itu memaklumkan dana zakat berjumlah kira-kira RM45,000 diterima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 23 dan RM50,000 diperuntukkan kepada Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Integrasi Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya.

“Di SMK USJ 23 proses baik pulih dan pembinaan struktur baharu ruang wuduk perempuan amat membantu mempermudahkan urusan anak-anak mengambil wuduk dan beribadah dengan selesa.

“Zakat Selangor komited mengoptimumkan penggunaan wang zakat untuk baik pulih sekolah agama atau surau supaya dapat mempertingkatkan kualiti ibadah umat Islam di Selangor,” katanya di Facebook.

Menurut LZS pihaknya berbesar hati dan gembira warga sekolah yang terlibat dapat menggunakan kemudahan yang telah dibaik pulih dan selamat hasil daripada wang zakat yang ditunaikan pengeluar zakat.

“Terima kasih kepada semua pengeluar zakat,” katanya.

Majlis penyerahan cek cura baru-baru ini disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini yang turut meninjau keadaan dan fasiliti yang telah dibaik pulih oleh kontraktor.


Pengarang :