Orang ramai menyatakan sokongan dengan menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 Oktober 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Malaysia bersama OIC beri tekanan halang Israel ceroboh darat Gaza

SHAH ALAM, 26 OKT: Malaysia bersama Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan terus menekan Israel untuk menghalang rancangan tentera menceroboh darat Gaza.

Menteri luar berkata negara juga akan terus bersama OIC untuk memastikan isu kekejaman Israel dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Walaupun sudah dua minggu mereka (Isarel) merancang, (pencerobohan darat) masih belum dilakukan.

“Malaysia akan terus bersama OIC agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat merujuk isu kekejaman Israel bukan sahaja ke ICC, malah ke ICJ,” kata Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (dua, kanan) pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 pada 19 Septemnber 2023. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pendekatan penghubung kepada beberapa pemimpin dunia bagi mencari penyelesaian dalam isu Palestin.

Jelasnya, usaha tidak boleh dengan hanya sekadar mengecam atau menyampaikan bantahan, sebaliknya memerlukan langkah yang lebih konkrit dan tegas serta membawa seluruh dunia Islam.

“Dalam mesyuarat Majlis Kerjasama Teluk-Asean lalu, perdana menteri mengambil kesempatan bersama pemimpin dunia untuk berinteraksi dengan mereka dan menyampaikan pendirian Malaysia.

“Beliau juga berada dari satu tempat ke satu tempat seperti Riyadh, Turki dan Mesir kerana itu antara beberapa negara yang sangat penting peranannya dalam perjuangan kita selanjutnya,” katanya.

Terdahulu, Wisma Putra melalui kenyataan memaklumkan Malaysia menyokong gesaan diadakan Sesi Khas Kecemasan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di ibu pejabat PBB di New York.

Selain Malaysia, Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timur Leste dan Vietnam turut menyokong permohonan kumpulan negara Arab dan OIC untuk menyambung semula sidang tergempar ke-10 pada perhimpunan berkenaan.


Pengarang :