Nippon Designers School (NDS) cawangan Malaysia ketika menyertai acara Toy, Anime, Games & Comics (TAGCC) pada 25 September 2023. Foto Facebook Nippon Designers School Malaysia College
BUDAYARENCANA

Malaysia pilihan Jepun lebarkan sayap manga, animasi 3D

Oleh M Saraswathi

KUALA LUMPUR, 1 OKT: Malaysia, sebagai wadah tumpuan pelbagai agama dan bangsa, menjadi lokasi yang sesuai bagi Nippon Designers School (NDS) Jepun yang menawarkan kursus ilustrasi manga dan animasi 3D untuk membuka cawangan pertamanya di luar daripada negara matahari terbit itu.

Ketua Pegawai Eksekutif IRFIGO Sdn Bhd Song Songryol berkata penting untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dari sudut perspektif antarabangsa kepada pelajar pusat pengajian ini, sekali gus menyifatkan Malaysia sebagai lokasi ideal berikutan kepelbagaiannya, yang menjadi elemen penting dalam industri kreatif.

“Ini adalah pusat pengajian vokasional Jepun yang pertama dan satu-satunya di Malaysia. Kami berhasrat untuk menjadi penghubung antara Malaysia dan Jepun. Inilah sebabnya kami mempunyai ‘Plus Japan’ dalam silibus kami di Malaysia, begitu juga sebaliknya di Jepun,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Pusat pengajian ini yang ditubuhkan di Shibuya, Tokyo pada 1965 mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam bidang kreatif. Cawangan keduanya dibuka di Fukuoka, Jepun pada 1968, manakala NDS Malaysia yang dikendalikan oleh IRFIGO adalah cawangan ketiganya yang memulakan operasi pada 2022.

Song berkata, hubungan bilateral yang baik antara Putrajaya dengan negara-negara lain turut memberikan kelebihan tambahan yang seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab bagi rangkaian pusat pengajiannya.

“Selain itu, banyak syarikat hiburan dan berorientasikan kreatif di Jepun turut memburu peluang di Malaysia,” katanya sambil memaklumkan antara syarikat itu adalah OLM Asia Sdn Bhd yang menghasilkan siri animasi terkenal, Pokémon.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan langkah membuka pusat pengajian di Malaysia sebagai keputusan perniagaan yang baik dan mewujudkan spektrum yang menyeluruh terhadap industri kreatif.

Antara karya manga dihasilkan pelatih Nippon Designers School (NDS) cawangan Malaysia yang dipamerkan di AniManGaki2023 pada 26 Ogos 2023. Foto Facebook Nippon Designers School Malaysia College

Manfaat pasaran anime bernilai US400 bilion

Pengurus Besar IRFIGO, Takanori Tomita berkata NDS telah melabur kira-kira RM10.5 juta untuk menubuhkan pusat pengajiannya di Malaysia yang ketika ini menawarkan dua kursus pada peringkat diploma iaitu Diploma Ilustrasi Manga dan Diploma Animasi 3D.

Beliau berkata pengambilan pertama pelajar bagi Diploma Ilustrasi Manga dilaksanakan pada September 2022 dan mempunyai 90 pelajar, manakala Diploma Animasi 3D yang dimulakan pada Jun 2023 mempunyai 10 pelajar.

Kursus ini diadakan untuk merebut peluang dalam pasaran anime global yang dianggarkan bernilai US400 bilion dan dijangka berkembang kepada US550 bilion pada 2030, yang meliputi jualan kandungan anime dan barang niaga, katanya.

Menurut Takanori, sejak lebih 10 tahun lepas, karya lebih daripada 3,850 graduan pusat pengajian itu di Tokyo, telah diterbitkan dalam majalah dan memenangi pelbagai pertandingan.

“Oleh itu, di luar, terdapat pasaran yang baik untuk pelajar kami,” katanya.

Pelajar Sekolah Sri Kuala Lumpur mencuba bakat menghasilkan karya manga pada 5 Oktober 2023. Foto Facebook Nippon Designers School Malaysia College

Daripada kolej ke universiti

Song berkata terdapat permintaan dan pertanyaan dari seluruh rantau ini, malah dari India, untuk belajar di NDS Malaysia.

“Kami juga menerima pertanyaan daripada rakyat Jepun dan Korea yang menetap di Malaysia untuk belajar di pusat pengajian kami.

“Bagaimanapun, peraturan di Malaysia masih belum membenarkan kami untuk menerima pelajar asing. Kami perlu beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan melahirkan graduan kumpulan pertama sebelum membuka peluang kepada warga asing,” katanya.

Beliau berkata, NDS Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah universiti pada masa akan datang dan menawarkan kursus pada peringkat ijazah.

Buat masa ini, pelajar di Malaysia yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian mereka boleh berbuat demikian di kedua-dua NDS di Jepun berikutan mereka boleh berkongsi kredit, kata Song.

-BERNAMA

 

 

 

 


Pengarang :