Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 16 Oktober 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia tidak pernah diam, usaha bantu henti krisis di Gaza

SHAH ALAM, 16 OKT: Malaysia tidak pernah diam dalam melontarkan pendirian keras terhadap krisis Palestin-Israel selain berusaha mencari penyelesaian untuk menghentikan peperangan.

Perdana menteri memaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan berlepas ke Jeddah, Arab Saudi malam ini bagi menghadiri mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan beliau pula akan berlepas ke Riyadh pada Khamis untuk menyertai persidangan tetap antara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asean.

“Saya ingin menegaskan sesuatu yang lebih segera harus dilakukan. Barat, Eropah dengan kepura-puraan, hipokritikal, keras terhadap Rusia dan Ukraine tetapi mengizinkan kezaliman berterusan.

“Setiap persoalan dan pertemuan dalam perbincangan, mereka mahu Malaysia harus mengecam Hamas. Saya beritahu kita dari segi dasar memang ada hubungan dengan Hamas dan ini diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan penerangan mutakhir situasi terkini konflik Palestin dan Israel di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mesyuarat tergempar OIC pada Rabu ini diadakan bagi menangani situasi ketenteraan yang semakin meruncing dan ancaman terhadap orang awam di Gaza.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memohon sokongan antarabangsa bagi menekan Israel membuka laluan kemanusiaan di pintu sempadan.

Menurutnya, Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk berganding bahu dengan negara-negara sehaluan bagi menggerakkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza.

“Langkah segera lain yang akan diambil adalah penyaluran RM10 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan RM1 juta ke Kedutaan Malaysia di Amman dan Kaheran.

“Kita juga akan menyewa pesawat kargo khas bagi menghantar bantuan kemanusiaan melalui Mesir. Ia akan dibantu oleh beberapa NGO Malaysia dalam langkah solidariti,” katanya.


Pengarang :