Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan ketika mempengerusikan mesyuarat penuh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 26 Oktober 2023. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ terima lebih 500 aduan isu rumah, tanah kosong terbiar

SHAH ALAM, 26 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima 564 aduan berhubung rumah kosong dan pemilik lot tanah terbiar yang tidak diselenggara dengan baik.

Timbalan Datuk Bandarnya Aznan Hassan berkata daripada jumlah itu sebanyak 320 aduan pada tahun lalu manakala bakinya 244 (aduan) sehingga September baru-baru ini.

“Pelbagai tindakan penguatkuasaan dilakukan berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Mencegah Kekotoran (MBPJ 1999) bagi mengatasi isu ini.

“Notis pembersihan mengikut seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang meminta pemilik untuk menjalankan kerja pembersihan dalam tempoh notis turut diberikan

“Malah, sekiranya pemilik gagal atau enggan patuhi notis tersebut, maka tindakan kompaun tidak lebih RM1,000 boleh dikenakan kepada mereka,” katanya menerusi mesyuarat penuh MBPJ di sini hari ini.

MBPJ turut melakukan kerja pembersihan di tanah berkenaan sekiranya tiada sebarang tindakan, bagaimanapun Aznan menjelaskan segala caj akan ditanggung pemilik lot terbabit.

“Pemilik digesa memastikan rumah kosong dan lot terbiar itu sentiasa bersih dan diselenggara dengan baik bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan.

“Semakan tunggakan dan melunaskan bil tunggakan sedia ada boleh dirujuk di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran di Tingkat 9 Menara MBPJ,” ujarnya.


Pengarang :