Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan Festival Altruisme 3.0 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Oktober 2023. Foto Facebook MBSA
PBTSELANGOR

MBSA, Akademi Pengajian Bahasa UiTM anjur Festival Altruisme, pupuk sikap peduli OKU

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan Festival Altruisme 3.0 pada Sabtu lalu.

Program yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan komuniti sekeliling terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) tanpa mengambil kira latar belakang.

MBSA memaklumkan program sempena sambutan ulang tahun bandar raya yang ke-23 itu diharap dapat memupuk semangat altruisme, iaitu amalan untuk mengutamakan orang lain terutama golongan OKU.

“Selain itu, kita mahu menyediakan platform kepada organisasi dan komuniti luar mempromosikan produk, perkhidmatan dan peluang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial organisasi yang terlibat.

“Antara aktiviti dijalankan di stesen Karnival OKU ialah catur Braille, dam ular Braille, domino Braille, boling, ping pong tic-tac-toe, carian perkataan, mewarna dan melukis, seni tanah liat, lukisan inai dan lukisan muka,”katanya menerusi kenyataan.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan Festival Altruisme 3.0 di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Oktober 2023. Foto Facebook MBSA

Festival bertemakan Altruisme Menyemai Kesedaran Komuniti Inklusif Kewujudan Golongan OKU itu dirasmikan Naib Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Lim Bee Eng. Turut hadir, Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Bin Abdul Hamid.

Sempena sambutan ulang tahun MBSA ke-23, pihak berkuasa tempatan itu menganjurkan pelbagai program menarik sepanjang bulan ini termasuk pengurangan kompaun tempat letak kereta berjumlah RM10 bagi Kompaun Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MBSA 2007.

Bertemakan Bandar Raya Shah Alam 23 Tahun Mampan, Pintar dan Berdaya Huni, antara aktiviti diadakan Bicara Ilmu Shah Alam Berselawat; Kejohanan Catur Shah Alam dan Konvoi Jelajah MPP.

Turut dianjurkan, Shah Alam City Exciting Race; Pesta Buku dan Pameran Anggerik Shah Alam, pertandingan memancing dan kejohanan kayak.

MBSA dinaiktaraf daripada perbandaran pada 10 Oktober 2000. Selain MBSA, dua lagi pihak berkuasa tempatan di Selangor berstatus bandar raya ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Pelbagai aktiviti dijalankan sempena Festival Altruisme 3.0 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam di Pusat Konvensyen MBSA pada 7 Oktober 2023. Foto Facebook MBSA

Pengarang :