Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abd Hamid menyiram pokok sempena program ‘Shah Alam Trees For Life’ di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 8 Oktober 2023. Foto ihsan Majlis Bandaraya Shah Alam
PBTSELANGOR

MBSA bangunkan sistem khas urus landskap, aset taman awam

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam melancarkan platform maklumat khas bagi memastikan pengurusan landskap di kawasan pihak berkuasa tempatan itu lebih komprehensif.

Dikenali sebagai Sistem Inventori Pokok dan Aset Landskap Shah Alam (e-Palsa), sistem tersebut juga memudahkan kerja penyelenggaraan, penyelesaian aduan dan perancangan penanaman pokok.

Bagi inventori pokok, ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata ia meliputi senarai pokok teduhan di padang permainan, taman awam, tasik, persiaran dan kawasan perumahan.

Mohd Azhar Mohd Sharif menjelaskan inventori aset landskap pula meliputi lampu, tong sampah, bangku, parkir, tandas, padang bola dan gelanggang rekreasi di taman awam.

“Melalui sistem ini, pemantauan isu keselamatan fasiliti rekreasi lebih mudah mengambil kira penggunaan sistem mesra pengguna dan boleh diakses menggunakan telefon,” katanya dalam kenyataan.

Dilancarkan sempena ulang tahun ke-23 MBSA, beliau berkata fasa pertama yang dilaksana di Seksyen 14 di sini merekodkan 7,817 data inventori pokok dan 1,348 inventori aset landskap.

“Sistem yang akan dibangunkan secara berperingkat ini dapat membantu menghasilkan persekitaran yang berkualiti dan kondusif,” kata Mohd Azhar lagi.

Semalam, Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abd Hamid melancarkan sistem e-Palsa menerusi program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan MBSA di sini.

Turut diadakan penanaman 536 pokok dengan keseluruhan pokok ditanam sebanyak 177,899 sejak 2010.


Pengarang :