OLEH NAS NORZIELA NASBAH
SHAH ALAM,20 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menaik taraf Pusat Kitar Semula (PKS) Komuniti Seksyen 2 yang kini lebih mesra pengguna selain menarik minat masyarakat mengamalkan amalan itu dalam kehidupan seharian.
Datuk Bandar Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata naik taraf itu termasuk kerjasama beberapa syarikat berkaitan antaranya Tetrapak Malaysia dan Entomal Biotech Sdn Bhd.
“Selain memberi kemudahan kitar semula, komuniti turut berpeluang menggunakan perpustakaan mini di sini yang mana objektif pembinaan adalah menjadi pusat perkongsian ilmu kepada masyarakat dan hab pertukaran buku.
“Pada masa sama, MBSA turut menjadikan sebahagian ruang tapak PSK Seksyen 2 ini sebagai pusat pengumpulan sisa makanan untuk diproses secara organik melalui teknik lalat askar hitam (black soldier fly),” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pusat kitar semula itu di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, MBSA menyasarkan penerimaan sisa makanan sebanyak 1 tan sebulan melalui inisiatif itu.
“Kabin pengkomposan sisa makanan lalat askar hitam ini dilengkapi dengan bekas penyimpanan larva, mesin pengisar, mesin tuaian, tong sisa makanan, penyejuk udara dan larva yang bertindak sebagai pengurai sisa makanan sebelum dijadikan baja kompos,” katanya.
Selain menerima barangan kitar semula, PKS komuniti Seksyen 2 Shah Alam turut menyediakan perkhidmatan pengumpulan minyak masak terpakai dan bakal memperkenalkan konsep tebus barang kitar semula dengan baucar yang dijalankan dalam masa terdekat.