PBTSELANGOR

MBSJ sasar kutipan hasil lebih RM331 juta tahun depan

SUBANG JAYA, 15 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyasarkan kutipan hasil lebih RM331.035 juta pada 2024 berbanding RM315.035 juta tahun ini.

Datuk Bandarnya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata bagi terimaan bukan hasil pula pihaknya menyasarkan kutipan sejumlah RM11.3 juta pada 2024.

“Bagi komposisi hasil cukai taksiran masih lagi menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak RM232.5 juta atau bersamaan 70 peratus dari keseluruhan hasil MBSJ.

“Bagi hasil bukan cukai iaitu seperti lesen dan permit, bayaran perkhidmatan, jualan, sewaan, faedah, denda dan hukuman dianggarkan akan menjana hasil sebanyak RM87.2 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Townhall Bajet MBSJ 2024 di The Saujana Hotel Golf Resort di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 150 individu terdiri daripada pemegang taruh dan wakil penduduk dalam kawasan pentadbiran Subang Jaya hadir bagi mendengar dan memberi cadangan berhubung townhall bajet 2024.

Mohd Fauzi berkata berharap sesi townhall itu dapat dimanfaatkan sebaiknya dalam membantu MBSJ menjadi sebuah bandaraya mampan yang bestari, kota niaga dan kediaman idaman.

“Diharapkan melalui platform komunikasi dan maklum balas yang diterima melalui penglibatan komuniti dalam sesi ini dapat memberi impak yang baik kepada MBSJ untuk mencapai visi menjadi sebuah bandaraya mampan.

“Selain itu, dapat memastikan semua hasil yang diperoleh dibelanjakan mengikut perancangan secara cekap dengan pengawalan ketat bagi mengurangkan risiko ketirisan dan pembaziran sumber selaras dengan konsep Madani,” ujarnya.


Pengarang :