Beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu mengangkat sumbangan makanan yang diberikan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Kampung Johan Setia ketika tinjauan bencana banjir yang melanda beberapa buah kawasan di Selangor pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mindef, ATM bersedia gerak anggota, aset hadapi musim tengkujuh November ini

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia menggerakkan anggota dan asetnya ke kawasan bersiko tinggi dilanda bencana alam berikutan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini.

MINDEF dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya dan ATM juga bersedia melaksanakan tugas bersama agensi awam lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi berkaitan lain menerusi Operasi Murni (OP MURNI).

“Kerjasama turut meliputi aspek perancangan dan koordinasi tindakan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang diwujudkan di setiap daerah bagi memastikan segala bentuk bantuan dan operasi berjalan lancar,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut ATM akan memberi tumpuan terhadap operasi banjir di kawasan terjejas merangkumi tiga fasa gerak OP MURNI iaitu Pra-Aturgerak Banjir (sebelum), semasa banjir dan pasca banjir.

Menurut MINDEF dan ATM, pihaknya akan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin dan akan memaklumkan sebarang perkembangan mengenai operasi berkaitan dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :