Foto Facebook MPHuluSelangor
PBTSELANGOR

MPHS sedia tong sampah pukal dilokasi terpilih sempena Deepavali

SHAH ALAM, 19 OKT: Warga Hulu Selangor yang mahu membuang perabot lama atau barangan secara pukal boleh menggunakan kemudahan tong sampah Roll On Roll Off (RORO) di 30 lokasi terpilih.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan perkhidmatan mulai 23 Oktober hingga 4 November disediakan secara percuma untuk penduduk yang membersihkan kediaman sempena Deepavali.

“Penyediaan tong RORO berkapasiti tiga tan ini ditempatkan di sekitar Hulu Selangor iaitu Batang Kali, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dan lain-lain kawasan.

“Sasaran utama lokasi penempatan RORO adalah di kawasan komuniti dan penduduk yang menyambut perayaan Deepavali,” katanya di Facebook.

MPHS memaklumkan sampah pukal yang boleh dibuang termasuk perabot lama seperti almari, sofa, tilam dan katil serta barangan elektrik berupa radio, televisyen, peti ais, pengecas bateri, telefon bimbit dan sampah kebun.

“Sampah sisa domestik atau sampah dapur seperti sisa makanan adalah dilarang sama sekali dibuang ke dalam tong RORO ini.

“Diharap penduduk memberikan kerjasama dengan membuang sampah pukal ke dalam tong RORO yang disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar supaya bersih dan selesa,” katanya.

Hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS di talian 03-6064 1050 untuk sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO.


Pengarang :