Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan ke program Pinky Fun Run sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Padang Sultan Suleiman, Klang pada 15 Oktober 2023. FOTO SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPK berstatus bandar raya November ini

KLANG, 15 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan bertukar status bandar raya pada 23 November ini, kata yang dipertuanya.

Noraini Roslan memaklumkan pihaknya kini giat menaik taraf kemudahan awam khususnya jalan raya demi keselesaan masyarakat.

“Dari segi pentadbiran, kita menunggu untuk mendapat surat cara watikah daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas kelulusan Kabinet.

“Kemudian kita akan mewartakan tarikh kuat kuasa yang dipersetujui pada 23 November ini dan secara rasminya MPK bergelar bandar raya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang (MPK)

“Acara pengisytiharan bandar raya akan dibuat dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang perlu menunggu tarikh ditetapkan Baginda,” katanya ditemui selepas program Pinky Fun Run sempena Hari Tanpa Kenderaan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan MPK giat menaik taraf kemudahan lebih selesa demi rakyat menjelang bertukar status kepada bandar raya.

“Menuju bandar raya, perbelanjaan besar diperuntukkan untuk dihadiahkan kepada rakyat. Memegang status bandar raya perlu mempunyai kemudahan awam yang piawaiannya lebih baik.

“Antara diperuntukkan RM3 juta untuk naik taraf jalan Pulau Indah manakala bagi kawasan perumahan kita belanja RM3.8 juta termasuk penyelenggaraan parit,” katanya.

Untuk rekod, tiga pihak berkuasa tempatan di Selangor memegang status bandar raya iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).


Pengarang :