Logo Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)
AGENSISELANGOR

MPKj tawar bayaran kompaun parkir RM10 sepanjang November

Oleh NAS NORZIELA NASBAH

HULU LANGAT, 25 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menawarkan bayaran kompaun parkir RM10 sepanjang November ini.

Pemangku Yang Dipertua MPKj Mohd Fareez Mohd Ariss@Mohd Hatta berharap bayaran serendah itu akan menggalakkan orang menyelesaikan kompaun tertunggak.

“Cara pembayaran yang mudah boleh dilakukan di semua kaunter hasil di Menara MPKj, cawangan Bandar Tun Hussein Onn, Hentian Kajang dan Ecohill Semenyih.

“Pembayaran juga boleh dibuat di kaunter hasil bergerak atau melalui kiosk pembayaran. Semakan dan bayaran secara dalam talian juga boleh dilakukan melalui aplikasi FlexiParking  dan Smart Selangor Parking (SSP),” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat di Menara MPKj, hari ini.

Beliau berkata tindakan lebih tegas termasuk pendakwaan kes di mahkamah akan dikenakan bagi mereka yang masih mempunyai tunggakan kompaun pada Disember ini.

“MPKj juga akan menyenarai hitam terhadap mereka yang masih gagal menjelaskan tunggakan kompaun selepas tempoh kempen,” katanya.


Pengarang :