MYAirline melancarkan tiga laluan pertamanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu, sekali gus menandakan permulaan rasmi operasinya di Malaysia pada 1 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MyAirline beri keutamaan pulang semula wang pelanggan, bayar gaji pekerja

SUBANG JAYA, 16 OKT: Susulan tindakan menggantung operasi Khamis lepas, MYAirline Sdn Bhd kini akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan dua isu penting, iaitu memulangkan wang pelanggan yang telah membuat pembayaran bagi tempahan tiket dan membayar gaji pekerja – semuanya diselesaikan dalam tahun ini.

Pengarah dan Eksekutif Interim MYairline Datuk Sri Azharuddin A Rahman berkata kedua-dua isu itu akan menjadi agenda pertama untuk diselesaikan oleh syarikat penerbangan itu sebaik sahaja ia memperoleh pembiayaan daripada pelabur.

“Sehingga hari ini, kami telah memproses 18,000 e-mel yang meminta bayaran dipulangkan. Kami menggalakkan pelanggan yang terjejas menghantar e-mel kepada kami untuk mempercepatkan proses bayaran balik. Secara keseluruhan, terdapat 125,000 pelanggan yang terjejas, dengan nilai keseluruhan RM22 juta,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai status semasa Myairline di ibu pejabatnya hari ini.

Beliau turut menegaskan kebajikan pekerja tetap menjadi keutamaan syarikat.

“Sebaik sahaja pembiayaan diperoleh, kami akan mengutamakan pembayaran statutori dan gaji pekerja. Adalah penting ditekankan bahawa semua pekerja terlibat masih kekal di bawah penggajian MYAirline, tiada sesiapa yang diberi cuti tanpa gaji atau ditamatkan perkhidmatan sehingga kini. Kami telah bertemu dengan Kementerian Sumber Manusia untuk memaklumkan perkembangan terkini berhubung perkara ini,” katanya.

Mengenai pelabur berpotensi, Azharuddin berkata MYAirline sedang giat meneroka perkongsian strategik dan telah menerima beberapa cadangan.

“Semua cadangan ini sedang dinilai dengan terperinci dan usaha wajar. Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa perbincangan dengan pemberi pajak sedang berjalan untuk mengekalkan pesawat kami,” katanya.

Beliau seterusnya menggalakkan semua penumpang yang terjejas menghubungi [email protected] dan talian hotline di 03-8966 2522 yang beroperasi dari 7 pagi hingga 6 petang setiap hari, bagi memudahkan proses pembayaran balik dan memberikan bantuan yang diperlukan.

– BERNAMA


Pengarang :