BUDAYARENCANA

Nebukadnezar

Oleh Benedict Anak Samling

Tiba-tiba dia menjadi gila setelah berjam-jam menggesek punggungnya di atas sofa yang bentuknya seperti jirat tauke balak di dalam dewan besar di ibu kota. Di luar dewan, berkali-kali dia menggosok-gosok hidungnya yang seperti paruh burung kakak tua. Dihembus-hembus dengan kuat pada kertas tisu kemudian kertas tisu itu disumbat ke dalam bag plastik hitam yang digendong pembantunya. Setelah peredaran udara di dalam hidungnya lancar, dia menggoyang-goyang kepala kemudian menyebut “Nebukadnezar” berulang kali, seperti sedang melafazkan mantera. Buku Confucius yang dipegangnya diketuk-ketuk pada kepala lonjongnya. Tidak diketahui mengapa, kenapa dan kepada siapa perkataan itu dilontar. Adakah kepada dirinya? Entah. Dia sudah gila, itu pasti!

Dikhabarkan, sebelum kegilaannya itu memuncak, hidungnya berdarah mencurah-curah ketika mengajukan soalan kepada ahli-ahli panel forum di dalam dewan yang gah. Pada detik itu, barisan panel sedang membincangkan soal kemiskinan yang merayap masuk ke dalam lingkungan penduduk di pusat kota. Barangkali, kegilaannya itu adalah kemiskinan yang menyelinap masuk ke dalam banglo empat tingkatnya.

Rata-rata orang di dalam dan luar forum amat kenal susuk tubuh itu. Dahulu, lelaki itu sering menggegarkan dewan-dewan forum di atas kapasitinya sebagai seorang ketua wilayah. Lelaki yang bermantera  “Nebukadnezar” itu pernah diusir daripada forum antarabangsa setelah dia memperlekehkan Kota Babylon. Katanya: dia boleh membina tujuh Kota Babylon dan dia boleh melantik dirinya menjadi raja di dalam setiap kota itu. Setelah diusir dari pentas dunia itu, dia tiba-tiba menjadi pendiam (ada mitos yang mengatakan dia dipaksa untuk berdiam). Apabila ditanya mengapa diam? Dia akan menjawab: diam untuk pendam. Maka, berbondong-bondong orang-orangnya menuntut sepatah dua dari lelaki itu. Kata mereka, dia adalah seperti Maha Dewa yang kata-katanya akan menjelmakan yang tiada menjadi ada-ada. Benarkah?

Ya, dia bagaikan dewa. Setiap kata-katanya ditelan tanpa dikunyah dan langkahnya akan direnjis-renjis dengan air bunga mawar dipetik dari wilayah Saron. Pengikut-pengikutnya akan berebut-rebut, bertepuk-tampar dan bertarik-tolak untuk menyentuh kasut kulitnya yang diperbuat dari kulit burung nasar. Dipercayai, barang siapa yang menyentuh kasutnya akan dilimpahi kesucian abadi. Benarkah? Tiada pengikutnya yang tidak percaya!

Berita tentang kegilaan lelaki itu menjalar tanpa ada sebarang rintangan. Kegilaannya yang amat pekat itu meresahkan para pembesar di ibu kota. Mereka khuatir kegilaan yang menyerang lelaki itu dibawa oleh virus misteri lalu menjangkiti warganegara yang sedang tekun menghitung butir-butir beras.

Sungguh, tiada sesiapa yang faham akan punca kegilaan lelaki itu termasuklah orang terpaling kanannya yang baru sahaja dilantik. Bahkan, isterinya juga mula menjauhkan diri daripadanya, mungkin isterinya tahu kegilaan yang dialami oleh suaminya itu bukan gila yang biasa-biasa.

Orang-orang di sekelilingnya dan warganet mulai bertaruh, apakah dia akan menyumpah kegilaannya sendiri atau kembali ke dalam forum-forum tempatan untuk mencari kewarasannya? Dan, ada juga yang bertaruh bahawa dia akan meneruskan kegilaannya itu atau berpura-pura menjadi gila. Dia akan lakukan apa sahaja atau berkata apa sahaja untuk menunaikan hajat orang-orangnya yang dahagakan kata-kata dari Maha Dewa.

Lelaki berhidung paruh kakak tua itu seperti baru tersedar dari kegilaan apabila mendapati dirinya dikerumuni anai-anai. Segera, gerombolan anai-anai yang berjalan beriringan, membina garis yang mengelilingi kakinya. Seperti dirasuk, dia melaungkan “Nebukadnezar” berkali-kali dan terangguk-angguk sambil memejam mata. Pada kali ini, dia menyebut “Nebukadnezar” dengan laju dan tersusun. Buku Confucius pada tangannya dilepaskan lalu terjatuh pada gerombolan anai-anai Sedetik, hanya sedetik, buku itu lenyap dimakan anai-anai, yang tinggal hanyalah beberapa cebisan huruf yang membentuk perkataan “Nebukadnezar”.

Lelaki itu melompat-lompat dan memijak-mijak anai-anai itu. Anai-anai itu tidak menunjukkan reaksi untuk beredar, bahkan semakin banyak. Anai-anai itu bergumpal dan membesar menjadi seperti bukit Tursina.
Dia menjerit-jerit menyuruh pembantu terpaling kanannya mengusir anai-anai itu. Namun, kerana kegelian yang melampau, pembantu terpaling kanannya melarikan diri meninggalkan lelaki itu.

“Phuih! Penakut! Pemalas!” Jerkah lelaki itu. “Anai-anai yang sekecil butir beras ini pun kamu takut!”
Lelaki itu melompat-lompat sambil melaungkan “Nebukadnezar”. Dia melompat dengan laju sehingga tidak menyedari dirinya sedang melompat masuk ke dalam dewan yang sedang memperkatakan topik “Cahaya Politik Ketika Senja Menjelma”. Lompatan lelaki itu tidak terhenti di pintu masuk malah dia terus melompat sehingga ke atas pentas forum.

Dewan bergema dengan laungannya: Nebukadnezar! Nebukadnezar! Nebukadnezar!

Para penonton bangkit dari tempat duduk, naik ke pentas dan menjulang lelaki itu lalu di bawa ke luar dewan. Di luar dewan, lelaki itu didudukkan di sebuah bangku kayu bersebelahan dengan tong sampah berwarna hijau. Lelaki itu terkebil-kebil. Dia mengangkat bahu dan menjatuhkan rahangnya.

“Diam!” Serentak para penonton mengherdik dan menghala jari telunjuk ke arah lelaki yang semakin gila itu.
Lelaki itu menepuk-nepuk dahinya. Dia terdiam. Dia terus berdiam dalam kegilaan yang dicipta untuk diri dan orang-orangnya.


Pengarang :