ADN Rawang Chua Wei Kiat (dua, kanan) dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen ketika Sesi Dialog Bersama Wakil Rakyat: Kesan Insinerator Kepada Kesihatan dan Kesejahteraan Penduduk di Batu Arang, Rawang pada 1 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Negeri dengar suara penduduk berhubung cadangan bina loji bakar sampah

GOMBAK, 1 OKT: Kerajaan Negeri sedia mendengar suara penduduk berhubung cadangan pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) di Bandar Tasik Puteri di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata pihaknya maklum terhadap kebimbangan penduduk yang mendakwa projek tersebut akan menjejaskan alam sekitar dan kesihatan.

“Kita mendengar keluhan dan kerisauan penduduk. Saya faham pembinaan loji ini merupakan teknologi canggih tapi penduduk mungkin tidak faham dan tidak tahu.

“Cara yang paling baik adalah adakan sesi dialog antara pemilik projek dan penduduk. Saya rasa Kerajaan Negeri sedia dengar suara rakyat,” kata Chua Wei Kiat.

ADN Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen bergambar bersama penduduk selepas Sesi Dialog Bersama Wakil Rakyat: Kesan Insinerator Kepada Kesihatan dan Kesejahteraan Penduduk di Batu Arang, Rawang pada 1 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menghadiri sesi dialog bersama lebih 100 penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan, Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) di Dataran Batu Arang.

Penyelaras Kempen Rawang Tolak Insinerator (JRTI) Dr Lam Choong Wah

Sementara itu, Penyelaras JRTI Dr Lam Choong Wah berkata pihaknya menolak cadangan pembinaan loji pembakaran sampah berikutan ia terletak berhampiran penempatan penduduk.

Justeru pertubuhan itu mencadangkan Kerajaan Negeri melaksana penyelesaian lebih lestari seperti pengurusan sisa sifar yang merangkumi kitar semula, guna semula serta larangan penggunaan plastik.

“Penduduk mahu penyelesaian lebih lestari seperti pengurusan sisa sifar. Solusi itu diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2022 dan ia merupakan penyelesaian menyeluruh.

“Saya fikir ia sepatutnya dicontohi dan dipelajari oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Ia adalah sangat penting kepada alam sekitar,” katanya.


Pengarang :