Penduduk bersama-sama mengadakan gotong-royong di Pangsapuri Pendamar, Klang pada 23 Julai 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri hasrat anjur Rewang Komuniti, hidupkan kembali semangat kerjasama

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat menganjurkan Rewang Komuniti khusus untuk penduduk di kediaman pangsapuri kos rendah dan sederhana, awal tahun depan.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata program tersebut bertujuan menghidupkan kembali semangat gotong-royong dan kerjasama yang semakin berkurang di kawasan bandar.

“Kita akan kenal pasti kawasan seperti perumahan pangsapuri lama, yang mungkin sebelum ini mereka mendiami rumah setinggan atau rumah panjang.

“Kelompok ini sudah ada semangat kerjasama dan gotong-royong dahulu, tetapi apabila duduk pangsapuri ia semakin hilang. Malah penyakit pun mula datang kerana kehidupan kurang aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan simposium kesejahteraan bandar anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Pusat Konvensyen Midlands di sini, hari ini.

Borhan menambah Rewang Komuniti akan dianjur selama dua hari satu malam dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya dan Pandan Indah dipilih sebagai projek perintis.

Menurutnya antara pengisian menarik yang dicadangkan adalah kenduri rakyat dan program ilmiah selain sesi ziarah penduduk kurang bernasib baik bersama agensi terlibat.

“Di Selangor, kita ada lebih 400 pemaju berdaftar bawah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda). Tetapi yang bertanggungjawab bangunkan modal insan adalah kita,” katanya.


Pengarang :