SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan Negeri bersetuju untuk nyahrahsia laporan penuh insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada Disember tahun lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri semalam dan hasil siasatan diserahkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Nadma boleh paparkan atau letak di laman sesawang atau serah kepada mereka yang memerlukan. Laporan sangat teknikal dan itu dipaparkan di laman web Nadma untuk perhatian semua pihak.
“Jadi, semua pihak boleh mengambil tindakan tetapi yang jelasnya laporan memang teknikal yang menjelaskan bagaimana berlakunya peristiwa itu,” katanya ditemui di sini hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/09/tanah-runtuh-500x354.jpg.webp)
Sebelum itu, beliau menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Daiso Malaysia bersama Kajima (Malaysia) Sdn Bhd dan Sunway Construction Sdn Bhd bagi pembinaan pusat hab pengedaran di Pulau Indah, Klang.
Amirudin menambah laporan berkenaan turut mendedahkan nama pemilik tapak selain beberapa kawasan terjejas lain, yang juga milik perhutanan dan rizab jalan.
Pada 16 Disember tahun lalu, seramai 31 mangsa termasuk kanak-kanak terkorban dalam kejadian menyayat hati yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi.
Susulan kejadian berkenaan, Kerajaan Negeri mewajibkan semua pengusaha tapak perkhemahan berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan bagi menjamin keselamatan pengunjung.