Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) meninjau cadangan tapak dan pembangunan penempatan pelajar Selangor di Kaherah, Mesir dalam lawatannya pada 8 Oktober 2023. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri teliti, ikhtiar bangunkan asrama pelajar Selangor di Mesir

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Selangor bersama agensi berkaitan meneliti cadangan membangunkan penempatan anak Selangor yang menyambung pengajian di Mesir bagi keselesaan mereka.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang melakukan lawatan kerja di sana mulai semalam memaklumkan ikhtiar dibuat bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk manfaat pelajar.

“Insya-Allah Kerajaan Selangor akan berikhtiar bersama-sama agensi lain seperti Jais bagi membangunkan asrama buat manfaat anak-anak Selangor yang menuntut ilmu di Mesir.

“Kita cakna dan prihatin akan kebajikan para mahasiswa Selangor kerana merekalah masa depan yang akan memimpin negeri ini, Insya-Allah,” katanya di Facebook.

Sebelum itu, beliau melakukan kunjungan hormat ke Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir selain bertemu mantan Mufti Agung Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah di kediamannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad menziarahi mantan Mufti Besar Mesir Syeikh Professor Dr Ali Jum’ah, di kediaman rasminya di Mesir baru-baru ini. Foto Facebook Amirudin Shari

 

Dato’ Menteri Besar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia Amman dan merasmikan pembukaan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023 esok.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan bersama penasihat utama Raja Abdullah, Putera Ghazi Muhammad dan menghadiri majlis ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Jordan.

Pada 11 Oktober, Amirudin dijadual menyertai bual bicara Mahasiswa Selangor di Jordan, melawat penempatan pelajar dan merasmikan penutupan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah 2023.


Pengarang :