Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama peniaga pasar rakyat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang daerah Klang di Jeti Pengkalan Nelayan, Kampung Delek, Klang pada 18 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Nelayan zahir rasa syukur, insentif RM1,000 ringan beban baiki peralatan 

SHAH ALAM, 6 OKT: Golongan nelayan menzahirkan rasa syukur atas pemberian insentif RM1,000 daripada Kerajaan Negeri sempena 100 hari pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Nelayan Sungai Sembilang, Jeram Norhizam Sarif, 52, berkata insentif itu pastinya meringankan beban golongan sepertinya selain membuktikan kesungguhan Kerajaan Perpaduan mengotakan manifestonya.

Nelayan Sungai Sembilang, Jeram Norhizam Sarif, 52,

“Saya gembira dengan pengumuman insentif ini kerana ia sememangnya diperlukan untuk kami membaiki peralatan tangkap ikan sekali gus meningkatkan hasil tangkapan.

“Namun, saya berharap agihan bantuan diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan kerana di Kuala Selangor sahaja terdapat 1,187 nelayan yang berdaftar,” katanya.

Kegembiraan sama turut dikongsi Satarudin Kamal, 55, dengan menyifatkan insentif itu amat bermakna buat golongan tersebut khususnya kepada nelayan tradisi atau bot kecil.

“Nelayan-nelayan tradisi atau bot kecil ini kawasannya agak terhad dan menjadikan hasil tangkapan tidak banyak.

“Dengan adanya insentif RM1,000 itu amat membantu untuk pendapatan dan dapat digunakan untuk membaiki jaring atau kelengkapan menangkap ikan,” kata nelayan dari Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang

Selasa lalu, Dato’ Menteri Besar mengumunkan seramai 500 pengusaha tanaman, ternakan, akuakultur, industri asas tani dan nelayan bakal menerima insentif RM1,000 untuk meningkatkan kadar pengeluaran.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pemberian dibuat dalam bentuk tunai sebanyak RM500 manakala baki menerusi imput tanaman, peralatan dan bahan mentah diserahkan pada 31 Oktober.

Katanya, agihan insentif tersebut dilaksanakan menerusi kerjasama Agro Bank Selangor dan Koperasi Kohijrah Warga Hijrah Selangor Berhad.

Perkara tersebut sebahagian daripada lima komitmen utama dalam tempoh 100 hari pentadbiran Selangor berdasarkan ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.


Pengarang :