EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah meninjau persiapan Pameran Anak-anak Sidek bersama bekas jaguh badminton negara Datuk Misbun Sidek dan Datuk Jailani Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah
EXCOSELANGOR

Pameran Anak-anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah Disember ini

SHAH ALAM, 3 OKT: Pameran Anak-anak Sidek bakal menemui orang ramai khususnya peminat badminton negara pada Disember ini di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

EXCO kebudayaan berkata pameran itu memberi peluang orang ramai melihat pelbagai koleksi trofi dan pingat dirangkul anak Allahyarham Dato’ Sidek Abdullah Kamar seperti Misbun, Jalani dan Rashid.

Menurut Borhan Aman Shah, pengunjung juga boleh mendapat inspirasi perjalanan hidup Allahyarham yang berusaha membesar dan mendidik anak-anaknya menjadi pemain badminton tersohor.

“Persiapan kini pada peringkat akhir dan keluarga Sidek setuju untuk meminjamkan sementara semua piala dan pingat untuk dipamerkan.

“Kita juga akan meletak komik serta gambar anak-anak Sidek sejak kecil selain kejayaan mereka dalam sukan badminton. Pengunjung yang datang boleh mengimbas kod bar melalui gambar tersebut untuk mendapatkan informasi,” katanya kepada Selangorkini.

Wakil rakyat Tanjong Sepat juga merancang menjadikan koleksi trofi dan pingat keluarga Sidek sebagai warisan sejarah dengan mempamerkannya di muzium terbabit.

“Kita cadang mengadakan lawatan ke rumah Datuk Sidek di Kanchong Darat, Banting dalam masa terdekat. Ada beberapa perkara kita mahu lihat terutama barangan atau pakaian lama keluarga Sidek.

“Kita akan bincang kemudian sama ada keluarga mahu hadiahkan kepada muzium atau mungkin Kerajaan Negeri beli. Diharap usaha ini berjalan seperti dirancang,” katanya.

Misbun (Bun), Razif (Ajib), Jailani (Alan), Rahman (Aman) dan Abdul Rashid (Adul) adalah Lima Sidek bersaudara yang melakar sejarah penting buat Malaysia dalam sukan badminton di mata dunia.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah meninjau persiapan Pameran Anak-anak Sidek bersama bekas jaguh badminton negara Datuk Misbun Sidek dan Datuk Jailani Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 26 September 2023. Foto Facebook Borhan Aman Shah

Pengarang :