Pemasangan ‘flap gate’ bagi mengawal aliran air dan mengurangkan risiko banjir di Taman Sri Pelabuhan, Klang. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee
ADNSELANGOR

Pasang penghadang besi di Taman Sri Pelabuhan, kurangkan risiko banjir

SHAH ALAM, 11 OKT: Pemasangan penghadang besi (flap gate) di Taman Sri Pelabuhan, Klang dijangka mampu mengawal aliran air sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan terbabit.

Ahli Dewan Negeri Pandamaran Tony Leong Tuck Chee berkata tiga unit pagar besi dipasang Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kos RM22,000 siap sepenuhnya pada Ahad lepas.

Beliau menjelaskan pemasangan dibuat selepas menyedari kegusaran penduduk terhadap isu banjir yang kerap melanda kawasan terbabit sebelum ini hingga menjejaskan kira-kira 30 unit rumah.

“Setiap kali hujan lebat, penduduk di situ sangat risau sebab banjir seringkali berlaku. Sebelum pilihan raya negeri, saya bincang dengan MPK untuk kaji bagaimana boleh selesaikan masalah ini.

“MPK kemudian cadang untuk pasang ‘flap gate’ dan mereka tanggung sepenuhnya kos tersebut. Diharap pemasangan ini dapat menyelesaikan isu banjir,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata setakat beberapa hari ini, pagar besi itu berfungsi dengan baik selain tiada banjir dilapor dari kawasan berkenaan walaupun hujan lebat.

“Bagaimanapun saya minta penduduk supaya dapat memantau ‘flap gate’ berkenaan. Sekiranya masih ada banjir berlaku, segera maklumkan kepada saya,” katanya.

 


Pengarang :