Letupan fosforus putih di udara dirakam di pelabuhan Gaza pada 11 Oktober 2023. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

PBB beri amaran bantuan kemanusiaan untuk Gaza bakal ‘lumpuh’

WASHINGTON, 28 OKT: Rangkaian bantuan kemanusiaan yang menyediakan perkhidmatan kritikal kepada lebih dua juta penduduk di Gaza berisiko ‘lumpuh’, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Jumaat.

“Apabila insiden pengeboman semakin kerap, keperluan menjadi semakin kritikal.

“Memandangkan situasi semakin terdesak, PBB tidak akan dapat meneruskan penghantaran bantuan di Gaza tanpa perubahan terhadap kaedah bantuan yang disalurkan,” kata Guterres dalam satu kenyataan, lapor Agensi Anadolu.

Sebelum konflik terbaharu itu, kira-kira 500 trak membawa bantuan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari, tetapi kini purata hanya 12 trak, menurut PBB.

“Penduduk Gaza semakin derita…tanpa perubahan dasar penduduk akan menghadapi gelombang penderitaan kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelum ini. Setiap daripada kita mesti memikul tanggungjawab masing-masing,” kata Guterres.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan bahawa 53 anggotanya terbunuh di Gaza sejak 7 Okt. .

UNRWA juga memberi amaran mungkin tidak dapat meneruskan bantuan kemanusiaan melainkan penghantaran bahan api dibenarkan memasuki Gaza, memandangkan bekalan sedia ada hampir kehabisan.

– BERNAMA


Pengarang :