MYAirline melancarkan tiga laluan pertamanya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Sepang ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu, sekali gus menandakan permulaan rasmi operasinya di Malaysia pada 1 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pekerja MYAirline buat laporan polis dakwa gaji tertunggak

SEPANG, 31 OKT: Sekumpulan pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang sedang menghadapi penggantungan operasinya sejak 12 Oktober lepas membuat laporan polis berkenaan tunggakan gaji mereka, hari ini.

Kira-kira 20 pekerja MYAirline membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, yang diiringi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor.

Kamarul Baharin memberitahu media bahawa laporan polis itu dibuat kerana MYAirline didakwa gagal membuat pembayaran gaji serta tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak Mei lepas.

Penggantungan operasi MyAirline pada 12 Okt lepas yang dikatakan ekoran tekanan kewangan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan lebih 500 kakitangan syarikat penerbangan itu berhubung status perkhidmatan mereka dalam syarikat berkenaan yang memulakan penerbangan sulungnya pada 1 Dis lepas.

Pada 16 Okt lepas, Pengarah dan Eksekutif Interim MYAirline Datuk Seri Azharuddin A Rahman dilaporkan berkata pihaknya akan memberi keutamaan untuk menyelesaikan dua isu penting iaitu memulangkan wang pelanggan yang telah membuat pembayaran bagi tempahan tiket dan membayar gaji kakitangan.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan dan akan melakukan siasatan berkaitan selain merujuk kes itu kepada IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan IPD Kuala Langat.

Kamarul Baharin berkata isu berkenaan memerlukan campur tangan kerajaan khususnya Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan kebajikan kakitangan syarikat penerbangan terbabit terbela dan dapat meneruskan kehidupan.

“Kehidupan mereka ketika ini amat terjejas dan saya harap kerajaan ambil maklum dan segera bertindak,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :